Friday, October 2, 2009

Bagaikan sakti...

Hang Tuah adalah lambang kekuasaan dan kebesaran Melaka. Riwayat hidup Hang Tuah merupakan riwayat Kerajaan Melayu Melaka dan riwayat bangsa Melayu membangun hingga membentuk zaman keagungandan kegemilangan pemerintahannya. Kebesaran Melaka berkait rapat dengan kebesaran tokoh itu. Begitu juga kejatuhan Melaka berkait dengan lemahnya tokoh tersebut. Sewaktu Melaka baru dibuka, Hang Tuah masih kecil. Apabila Melaka menjadi sebuah negara yang besar, Hang Tuah menjadi orang kanan bersama Bendahara dalam menjalankan urusan pentadbiran, keselamatan dalam negeri dan mempunyai suara yang muktamad. Apabila Hang Tuah jatuh sakit perkhidmatannya di istana Melaka berakhir. Semangat kepahlawanan yang ditunjukkan oleh Hang Tuah menimbulkan perasaan kagum, ghairah dan hormat bangsa Melayu kepada tokoh yang terkenal ini.

Hang Tuah seorang pahlawan yang gagah berani, mempunyai keistimewaan kekuatan jasmani dan rohani, luas ilmu pengetahuan dan berpengalaman. Kegagahan dan keistimewaannya itu menjadikan tokoh ini disegani dan ditakuti oleh kawan dan lawan. Budi bahasanya yang halus menjadikan dia dihormati di kalangan rakyat dan bangsa asing. Dia berusaha mempelajari pelbagai jenis bahasa, menuntut ilmu sejak dari kecil dan tahu ilmu firasat. Taat setia kepada rajanya dan tidak pernah berpaling dari tugasnya terhadap negara serta tidak berbelah bagi taat setianya kepada tuannya. Sifat-sifat seperti inilah yang menjadikan Hang Tuah sebagai wira bangsa Melayu.

No comments:

Post a Comment