Wednesday, October 14, 2009

Mentera semerah padi...

Hei kersani mengalirlah dikau
Menjadi raksa
Mengisi belikat punggungku
Agar aku bisa berdiri
Tegap dan segak
Bagaikan Laksamana Melayu

Hei sepuluh helai daun sireh
Ku gentas bersama
Bunga cengkih jadilah dikau
Darah merah pekat
Mengisi uratku
Agar bisa aku berlangkah
Gagah dan tampan
Bagaikan si jantan yang berkokok

Di mana bumi ku berpijak
Di situ langit ku junjung
Alang-alang menyeluk pekasam
Biar sampai ke pangkal lengan

Aku seru mentera pusakaku
Mentera semerah padi...

Tuesday, October 13, 2009

Monolog lagi...

Suara televisyen sengaja aku kuatkan. Malam yang masih awal ku rasakan sunyi tiba-tiba. Dan sendirian di bilik ini membuatkan dadaku tiba-tiba berdebar...Angin malam menyapa dari tingkap yang sedikit terbuka. Ah, meremang bulu romaku...Semacam ada yang tidak kena pada malam ini. Fikiranku melayang-layang memikirkan tugasan yang sentiasa berlegar-legar di benakku.
Beberapa hari lagi aku perlu menghantar tugasan Dr. Mawar...Nak taknak aku mesti memikirkan dan menyiapkan tugasan tersebut.

Setelah memerah otak,aku mendapat idea dan ilham yang menyuruhku membayangkan Laksamana Hang Tuah sebagai ahli antropologi...Aku ingin menggarapkan sebuah cerpen yang menggambarkan Hang Tuah sebagai pengkaji budaya masyarakat orang Asli. Bagaimana la agaknya jika Hang Tuah yang terkenal sebagai pahlawan agung itu masuk ke kampung orang asli dan membuat kajian terhadap mereka. Adakah Hang Tuah akan terperanjat melihat orang Asli ataupun mungkin juga orang Asli tersebut yang akan terkejut melihat perwatakan Hang Tuah yang lengkap dengan tanjak dan kerisnya??? Hu,ini sesuatu yang menarik tetapi adakah aku boleh menginterpretasikan idea ini dengan berjaya?

Friday, October 9, 2009

Suatu masa...

Tentang Hang Tuah;

1) Berani

2) Taat setia

3) Bijaksana dan pintar

4) Berwaspada, berdiplomasi dan mengawal diri

5) Petah bicara

6) Merendah diri, baik hati dan berbudi bahasa

7) Pemurah

8) Sebagai tokoh pahlawan agung

Kasih berlima...



Hang Jebat dan Hang Kasturi berpantun;
Hang Jebat Hang Kasturi
Budak-budak raja Melaka
Jika hendak jangan dicuri
Mari kita bertentang mata.

Maka Laksamana pun berpantun;
Lokan melata di perahu
Belah batang bert.n.d.w.a.n.
Bukan aku tiada tahu
Akulah hulubalang minta lawan.

Maka Hang Kasturi pun berpantun;
Gajah Lekir kuda beraksa
Di mana kuhempaskan
Sama lebur sama binasa
Orang kaya di manakan aku tunangkan.

Maka Hang Lekir pun berpantun;
Adakah perisai bertali rambut
Rambut dipintal akan cemara
Adakah bisai tahu takut
Kami pun muda lagi perkasa.

Maka Hang Lekiu pun berpantun;
Ambil galah kaitkan jantung
Ch.y.k banyak makan di jalan
Pada Allah tempat bergantung
Datang tombak kita melawan.

Friday, October 2, 2009

Bagaikan sakti...

Hang Tuah adalah lambang kekuasaan dan kebesaran Melaka. Riwayat hidup Hang Tuah merupakan riwayat Kerajaan Melayu Melaka dan riwayat bangsa Melayu membangun hingga membentuk zaman keagungandan kegemilangan pemerintahannya. Kebesaran Melaka berkait rapat dengan kebesaran tokoh itu. Begitu juga kejatuhan Melaka berkait dengan lemahnya tokoh tersebut. Sewaktu Melaka baru dibuka, Hang Tuah masih kecil. Apabila Melaka menjadi sebuah negara yang besar, Hang Tuah menjadi orang kanan bersama Bendahara dalam menjalankan urusan pentadbiran, keselamatan dalam negeri dan mempunyai suara yang muktamad. Apabila Hang Tuah jatuh sakit perkhidmatannya di istana Melaka berakhir. Semangat kepahlawanan yang ditunjukkan oleh Hang Tuah menimbulkan perasaan kagum, ghairah dan hormat bangsa Melayu kepada tokoh yang terkenal ini.

Hang Tuah seorang pahlawan yang gagah berani, mempunyai keistimewaan kekuatan jasmani dan rohani, luas ilmu pengetahuan dan berpengalaman. Kegagahan dan keistimewaannya itu menjadikan tokoh ini disegani dan ditakuti oleh kawan dan lawan. Budi bahasanya yang halus menjadikan dia dihormati di kalangan rakyat dan bangsa asing. Dia berusaha mempelajari pelbagai jenis bahasa, menuntut ilmu sejak dari kecil dan tahu ilmu firasat. Taat setia kepada rajanya dan tidak pernah berpaling dari tugasnya terhadap negara serta tidak berbelah bagi taat setianya kepada tuannya. Sifat-sifat seperti inilah yang menjadikan Hang Tuah sebagai wira bangsa Melayu.

Friday, September 11, 2009

Ku mahu kau tahu...



Kedengaran riuh-rendah suara manusia di kolej pada malam ini sungguh meriah. Sana-sini mereka sibuk dengan aktiviti yang mereka ciptakan sendiri. Begitu juga dengan aku... Malam ini aku hanya menghabiskan masa di depan laptop. Menyiapkan segala tugasan yang diberikan oleh pensyarah sambil sekali-sekala jari-jemariku begitu sibuk menekan laman youtube...
Sedang asyik melihat pelbagai video, tiba-tiba aku terjumpa sebuah video yang diberi tajuk 'Hang Tuah Gagal SPM'. Oh, siapa la yang rajin melakukan alih suara sebegini rupa dalam video tersebut? bisik hati kecilku...

Thursday, September 10, 2009

Pagi yang gelap...

Uwargh, aku terjaga dari lena tidur...jam di sebelahku menunjukkan tepat 5.20 pagi.
Suasana pagi ini sungguh nyaman sekali ditambah dengan deruan kipas yang memecah kesunyian. Terasa tubuh badanku kesejukan dan aku mula menarik selimut lalu menyelubungkan badan.
hu, pagi-pagi begini memang terlalu sukar untuk aku bangkit dari tidur... apetah lagi untuk bangun sahur. Aku mencari mood untuk beradu semula. Fikiranku melayang entah ke mana...

Tiba-tiba aku teringatkan senyuman yang dilemparkan oleh Dr. Mawar kepada kami semasa mengikuti kuliah beliau semalam...alamak, aku masih belum memulakan tugasan yang diberikannya. Tanpa berfikir panjang, aku mencapai papan keybord lalu membiarkan jari-jemari ini menari-nari di dalam sebuah blog yang masih kosong itu...
Akan tetapi, aku masih tercari-carikan ilham dan idea yang sesuai berkenaan dengan hero Kesultanan Melaka yang digelar sebagai Laksamana Hang Tuah...
Argh, kekusutan melanda jiwa. Terlalu sukar untuk mendapatkan ilham di kala diri ini masih mahu memejamkan mata. Hu..mungkin ilham itu terselit di celah-celah gigi atau jari-jemari yang mampu memberikan kepuasan terhadap penulisan, namun tidak kutemui di waktu begini.
Diharapkan hari-hari yang mendatang, aku dapat jua menyiapkan tugasan yang diberikan ini, InsyaAllah...